Breaking News
Loading...
Wednesday, February 3, 2016

Info Post
“Rasa Makin Dekat Dengan Kubur” Tweet Sebelum Ajal Dalam Kemalangan Ngeri|MUADZAM SHAH – Seorang pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah meninggal dunia bersama bapanya selepas kenderaan yang dinaiki bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan – Segamat berhampiran Ladang Dara Teh sekitar jam 11.15 pagi, hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Haziq Janudin, 23, iaitu pemandu dan bapanya, Janudin Sukardi, 55, di kerusi penumpang depan dalam perjalanan menuju ke Uniten Kampus Muadzam Shah untuk pulang ke universiti berkenaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, kedua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas bertembung dengan sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dinaiki mangsa dari arah Segamat, Johor menghala ke arah Kuantan dipercayai dalam keadaan cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Penolong Penguasa Bomba, Aslam Hakim Abdullah, berkata, pemandu kereta Proton Wira tersepit dan mengalami kesukaran untuk mengeluarkannya.
“Ketika tiba di lokasi kejadian anggota mendapati kedua mangsa yang menaiki kereta Proton Wira telah meninggal dunia. Penumpang dikeluarkan terlebih dahulu manakala pemandu yang tersepit mengalami kesukaran untuk dikeluarkan.
“Anggota bomba yang terlibat terpaksa memotong bahagian tertentu dan akhirnya berjaya mengeluarkan mangsa. Kedua mangsa diserah kepada pihak polis dan operasi selesai sekitar jam 12.09 tengahari,” katanya.

0 comments:

Post a Comment